Latar belakang Pertempuran_Yamen

Pada tahun 1271, Kublai Khan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja dan keturunannya secara perlahan-lahan diasimilasikan menjadi Cina berbanding Mongol. Beliau telah memindahkan ibu kota kerajaan ke Khanbaliq atau Dadu, yang kini dikenali sebagai Beijing. Kublai telah memperbaharui dasar ketenteraannya yang terdiri daripada sekumpulan kecil tentera Mongol serta kumpulan besar perajurit Cina.

Gambaran Kublai Khan sedang memburu bersama pengiringnya oleh artis Liu Guandao, kira-kira pada 1280.

Kublai memutuskan untuk melancarkan serangan ke atas Dinasti Song. Akan tetapi, beliau sedar bahawa beliau perlu mengatur satu strategi baru. Dalam pada itu, tentera Song tidak mempunyai peluang untuk mengalahkan Mongol dalam pertempuran terbuka tetapi mereka memiliki kelebihan lain iaitu mempunyai kubu pertahanan yang kukuh. Salah satu kubu tersebut ialah terdapat di kota Xiangyang yang mampu bertahan daripada serangan Mongol selama bertahun-tahun.

Kublai sedar bahawa dalam misi menunaikan impian datuknya iaitu Genghis Khan untuk menakluki China, beliau perlu menyusun semula angkatan tenteranya. 5,000 buah kapal Yuan telah dibina dan kelasi-kelasi dari utara China dan Korea yang berpengalaman telah direkrut dengan tujuan untuk menguasai sungai-sungai di China serta menyekat bantuan musuh. Angkatan tentera laut yang baru ini terdiri daripada 70,000 tentera marin yang terlatih. Kemudian, kota Xiangyang telah dikepung oleh tentera Mongol selama enam tahun namun kota tersebut terus mempertahankan kedudukannya. Penduduk kota Xiangyang tahu bahawa sekiranya kota ini jatuh ke tangan musuh, maka seluruh negara China akan ditakluk oleh Mongol. Beberapa percubaan telah dilakukan oleh pihak Song untuk memecahkan pengepungan Mongol dan meminta bantuan ketenteraan tetapi tidak berjaya. Pada masa yang sama, tentera Mongol memiliki manjanik yang telah diubah suai dan mampu melontarkan batu seberat 300 kilogram dari jarak sejauh 500 meter. Hasilnya, kubu dan tembok pertahanan kota Xiangyang berjaya dirobohkan. Kota Xiangyang rasminya jatuh ke tangan Mongol pada tahun 1273.

Maharaja Bing, maharaja Song terakhir.

Tentera Kublai seterusnya meneruskan kemaraan ke selatan China. Sementara itu, Zhao Bing yang baru berusia lapan tahun telah menaiki takhta Song. Kerajaan Song telah menghantar utusan kepada Mongol untuk meminta gencatan senjata. Permintaan itu telah ditolak lalu memaksa kerabat diraja Song untuk melarikan diri bagi mencari perlindungan dengan menaiki satu armada besar. Tentera Kublai terus mara untuk menyerang kapal-kapal Song dan pertempuran tercetus di Yamen pada 19 Mac 1279.